Saturday 14 April 2012

Perbezaan Ikan Keli HALAL dan HARAM

 

PUTRAJAYA: Memakan haiwan ternakan, termasuk ikan keli yang diberi makanan sebahagian besarnya organ dalaman babi atau haiwan lain secara berterusan adalah haram bagi umat Islam dan fatwa mengenai pengharaman itu sudah diwartakan.
Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd Amri Abdullah, berkata fatwa pengharaman itu wajar menjadi panduan kepada umat Islam bagi mengelak membeli hasil ternakan haram dimakan.
“Umat Islam perlu berhati-hati dan mengelakkan memakan ternakan seumpama kerana fatwa mengenai kesahihan haram atau halal sudah dikeluarkan,” katanya kepada Berita Harian, ketika dihubungi di sini, semalam.
“Umat Islam perlu berhati-hati dan mengelakkan memakan ternakan seumpama kerana fatwa mengenai kesahihan haram atau halal sudah dikeluarkan,” katanya kepada Berita Harian, ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau diminta mengulas laporan akhbar baru-baru ini mengenai seorang penternak ikan keli di Taman Agro Teknologi Pertanian Bestari Jaya di Kuala Selangor, Mohd Fadzil Ibrahim, mendakwa ada ikan keli yang diternak bukan Melayu diberi makan seperti perut ayam, bahan buangan, bangkai dan organ dalaman babi.
Namun, Mohd Amri berkata walaupun Jakim bertanggungjawab terhadap persijilan halal seperti ditetapkan oleh standard ISO MS150 2009, pihaknya tidak berhak memeriksa produk yang tidak mempunyai persijilan halal atau tanpa logo halal.
“Jakim hanya boleh memeriksa pengeluaran, penyediaan, pemberian makanan, penyembelihan, pengendalian, penyimpanan dan pembungkusan bagi produk yang ada sijil halal, Pendek kata, semua proses dari ladang hingga sampai kepada konsumer di meja makan adalah dalam bidang kuasa Jakim.
“Bagaimanapun, bagi produk yang tiada persijilan halal atau menggunakan logo halal, ia tidak bermakna bahan terbabit haram dimakan tetapi pengguna harus menggunakan budi bicara dan jangan beli sekiranya was-was,” katanya.
Beliau berpendapat adalah berbaloi bagi pengusaha hasil ternakan seperti ikan keli, yang sebahagian besar pelanggannya adalah orang Melayu atau umat Islam, memohon persijilan halal bagi menghapuskan syak wasangka terhadap kesahihan status halal produk yang dipasarkan.
Sumber: Berita Harian – 19 April 2010 [pautan]
Perbezaan ikan keli memakan bahan haram dan halal
Haram:
Ikan yang diternak orang bukan Melayu diberi makan perut ayam, bahan buangan, bangkai dan organ dalaman babi. Semua benda itu tidak halal untuk umat Islam


  • Kepala berbentuk ‘V’
  • Bentuk badan mirip torpedo
  • Badan berwarna hitam berkilat
  • Bahagian bawah badan berwarna putih melepak
  • Bahagian antara bawah kepala dan badan berwarna kuning
  • Apabila digoreng akan meletup kerana banyak lemak

Halal:
Ikan yang diberi makan palet halal iaitu campuran beras hancur, tepung ikan, kepala ikan bilis, minyak sawit, bahan buangan kelapa sawit, kiambang dan vitamin

  • Kepala berbentuk ‘U’
  • Bentuk badan tirus
  • Berwarna hitam kelabu dan tidak berkilat
  • Bahagian bawah badan berwarna putih kelabu
  • Tiada warna kuning kelihatan di bahagian antara bawah kepala dan badan
  • Digoreng tidak meletup

Perbuatan tersebut adalah bercanggah dengan Syariat Islam kerana Rasulullah s.a.w. menegah orang Islam memakan daging binatang yang memakan najis atau diberikan makan najis.
Ibnu ‘Umar r.a. menceritakan;

نَهَى رَسُوْلُ اللهِ عَنِ الْجَلَّاْلَةِ وَ أَلْبَاْنِهَاْ

“Rasulullah telah menegah dari memakan al-jallalah ( yakni binatang yang suka makan benda kotor dan najis) dan menegah dari meminum susunya”.
(Riwayat imam-imam hadis kecuali Imam an-Nasai. Hadis ini dikatakan hasan oleh Imam at-At-Tirmizi)
Maksud al-Jallalah dalam hadis di atas menurut ulamak ialah; “Haiwan yang suka memakan benda kotor dan najis sama ada haiwan tersebut lembu, unta, kambing atau burung/ayam”. (Subulussalam, Imam as-Son’ani, jil. 4, hlm. 102).
Bagi sebahagian ulamak, larangan dalam hadis di atas adalah larangan makruh sahaja iaitu digalakkan agar tidak memakannya. Namun ada ulamak yang berpandangan larangan tersebut memberi makna pengharaman; yakni diharamkan memakan haiwan yang suka memakan najis atau diternak dengan diberi makan najis. Antara yang mengharamkaannya ialah Imam Ahmad bin Hanbal. Menurut Imam Ahmad; haram memakan daging dan susunya hinggalah ditahan dan diberi makan (makanan suci) selama 40 hari.
Daging haiwan al-Jallalah tersebut tidak akan menjadi bersih atau suci dengan membasuhnya sahaja atau dengan memasaknya atau dengan dicampur rempah-ratus supaya hilang bau najis atau bau busuknya. Akan tetapi ia hendaklah ditahan selama beberapa hari (dengan diberi makanan yang suci) sebelum disembelih. Hanya dengan menahannya barulah hukum makruh atau hukum haram tadi akan terangkat.
Berapa lamakah penahanan tersebut perlu dilakukan? Dalam mazhab Syafi’ie, tidak ada tempoh khusus bagi penahanan tersebut. Yang perlu ialah ia ditahan sehingga diyakini hilang najis atau bau najis dari dagingnya. Menurut pendapat Ibnu Umar r.a.; “Hendaklah ditahan dan diberi makan makanan yang suci; jika unta selama 40 hari, jika kambing selama 7 hari dan jika ayam selama 3 hari”.
Selain haiwan, adakalanya tumbuh-tumbuhan juga disirami atau dibajai dengan najis. Jadi apa hukumnya memakan buah atau tumbuhan yang disuburkan dengan najis itu? Hukumnya menurut mazhab Syafi’ie adalah halal memakannya. Namun dalam pada itu makruh hukumnya jika nyata bau najis padanya. Menurut Imam Ahmad; diharamkan buah-buahan, tumbuh-tumbuhan dan sayur-sayuran yang disiram dengan air najis.
Sumber: http://halaqah.net


No comments:

Post a Comment