Wednesday, 8 August 2012

DOA-DOA DI MALAM 10 TERAKHIR PUASA RAMADHAN



Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan:

“Aku bertanya Rasulullah s.a.w.; ‘Ya Rasulullah, jika aku menemui lailatul-Qadar (malam al-Qadar) apakah doa paling baik untuk aku ucapkan?’ Jawab Rasulullah; ‘Kamu bacalah doa (yg bermaksud); “Ya Allah, ya Tuhanku! Sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang maha pemaaf. Engkau suka memaafkan (dosa hamba-hamba-Mu). Maka maafkanlah daku (yakni ampunkanlah dosa-dosaku).” (Riwayat Imam at-Tirmizi)

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda:

“Permulaan Ramadan itu adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan (maghrifah) dan penghujungnya adalah kebebasan dari api neraka”

Kita sekarang berada di fasa terakhir Ramadan dan 10 malam akhir Ramadan ini adalah fasa pembebasan daripada api neraka dan “puasa itu adalah perisai” yang menghalang pelakunya daripada memasuki neraka. Seperti yang kita maklum, di 10 malam terakhir ini juga terdapat 1 malam yang sangat istimewa iaitu malam Lailatul Qadar.

Hanya ibadah puasa Ramadan yang dipecahkan kepada 3 bahagian iaitu fasa rahmat, keampunan dan kemerdekaan daripada neraka semata-mata kerana Allah s.w.t. ingin membesarkan pahala Ramadan. Subhanallah. Semoga kita dapat memanfaatkan setiap fasa yang telah kita lalui sepanjang Ramadan tahun ini.

“Sesungguhnya amalan-amalan itu terletak pada penghabisannya” (Hadis Riwayat Bukhari)

Oleh itu marilah kita tingkatkan dan tambahkan ibadat di 10 akhir Ramadan. Bersamalah kita mengisikan 10 hari terakhir ini dengan melebihkan ketakwaan dan menjaga ibadat puasa Ramadan. Mari perkemaskan ibadah puasa di 10 hari terakhir ini dan tutuplah kecuaian yang berlaku dalam puasa 20 hari yang lepas dengan menambahkan amalan-amalan sunat selain amalan fardu seperti solat,  bersedekah dan membaca Al-quran. Bersamalah kita mencari Lailatul Qadar. 

Bagi mencari malam Lailatul Qadar, ada baiknya kita membaca Doa lailatul-Qadar ini pd setiap malam di 10 malam terakhir Ramadan kerana dengan membacanya pada setiap malam, pastinya salah satu doa kita akan bertemu malam al-Qadar sekalipun tanpa kita menyedarinya.

Sabda Rasulullah,

“Sesungguhnya bagi orang berpuasa -ketika berbukanya- doa yang tidak akan ditolak.” (Riwayat Ibnu Majah dari Abdullah bin 'Amru bin al-'As)

Di samping itu, kita perbanyakkan berdoa dengan doa-doa 10 malam terakhir Ramadan. Bersama entri kali ini, mari berkongsi juga doa-doa 10 malam terakhir untuk kita sama-sama membacanya dan mendapat syafaat daripada Allah SWT .

Doa hari ke-21

Ya Allah! Berilah aku petunjuk menuju kepada keredhaanMu. Dan janganlah Engkau beri jalan kepada syaitan untuk menguasaiku. Jadikanlah syurga bagiku sebagai tempat tinggal dan peristirahatan, wahai pemenuh keperluan orang- orang yang meminta.

Doa hari ke-22

Ya Allah! Bukakanlah bagiku pintu-pintu kurniaMu, turunkan untukku berkah-berkah Mu. Berilah kemampuan untuk ku kepada penyebab-penyebab keredhaanMu, dan tempatkanlah aku di dalam syurgaMu yang luas, wahai penjawab doa orang-orang yang dalam kesempitan.

Doa hari ke-23

Ya Allah! Sucikanlah aku dari dosa-dosa, dan bersihkanlah diriku dari segala aib. Tanamkanlah ketaqwaan di dalam hatiku, wahai penghapus kesalahan orang-orang yang berdosa.

Doa hari ke-24

Ya Allah! Aku memohon kepadaMu hal-hal yang mendatangkan keredhaanMu, dan aku berlindung dengan-Mu dan hal-hal yang mendatangkan kemarahanMu, dan aku memohon kepadaMu kemampuan untuk mentaatiMu serta menghindari kemaksiatan terhadapMu, wahai pemberi para peminta.

Doa hari ke-25

Ya Allah! Jadikanlah aku orang-.orang yang menyintai auliyaMu dan memusuhi musuh-musuhMu. Jadikanlah aku pengikut sunnah-sunnah penutup nabiMu, wahai penjaga hati para nabi.

Doa hari ke-26

Ya Allah! Jadikanlah usaha ku sebagai usaha yang disyukuri, dan dosa-dosa ku diampuni, amal perbuatan ku diterima, dan seluruh aib ku ditutupi, wahai maha pendengar dan semua yang mendengar.

Doa hari ke-27

Ya Allah! Rezekikanlah kepadaku keutamaan lailatul qadar, dan ubahlah perkara-perkara ku yang sulit menjadi mudah. Terimalah permintaan maafku, dan hapuskanlah dosa dan kesalahanku, wahai yang maha penyayang terhadap hamba- hambaNya yang soleh.

Doa hari ke-28

Ya Allah! Penuhkanlah hidupku dengan amalan-amalan sunnah, dan muliakanlah aku dengan terkabulnya semua permintaan. Dekatkanlah perantaraanku kepadaMu di antara semua perantara, wahai yang tidak tersibukkan oleh permintaan orang-orang yang meminta.

Doa hari ke-29

Ya Allah! Liputilah aku dengan rahmat dan berikanlah kepadaku taufiq dan penjagaan. Sucikanlah hatiku dan noda-noda fitnah wahai pengasih terhadap hamba-hambaNya yang mukmin.

Doa hari ke-30

Ya Allah! Jadikanlah puasa ku disertai dengan syukur dan penerima di atas jalan keredhaanMu dan keredhaan rasul. Cabang-cabangnya kukuh dan kuat berkat pokok-pokoknya,

Akhir sekali terimalah hakikat kefarduan ibadat puasa Ramadan dan ikhlaskan hati dalam melakukannya semata-mata kerana Allah s.w.t. Semoga perkongsian ini dapat menambah kekuatan kita dalam menjalani ibadah dengan penuh keinsafan. InsyaAllah 

No comments:

Post a Comment